Kisah Seram - Hentian Gua Tempurung


 
Hentian Gua Tempurung...

- Saya ada satu pengalaman untuk dikongsi bersama. Kejadian ini terjadi pada saya & isteri sewaktu ingin pulang ke rumah di Klang, Selangor setelah bercuti di kampung isteri saya di Ipoh, Perak. S - elalunya saya akan bertolak pukul 10 malam ke atas sebab perjalanan yang tenang dan untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas. Ingat lagi saya pada tarikh kejadian iaitu pada hari Ahad, tanggal 19.06.2011. Saya bertolak seperti biasa pada jam 10 malam. Saya sempat bergurau dengan isteri saya supaya membuang air kecil dahulu sebab malas nak berhenti di perhentian rehat. Kebetulan isteri saya sedang mengandung tujuh bulan anak sulung kami. Biasalah mana-mana ibu mengandung akan kerap membuang air kecil.
Sewaktu dalam perjalanan, apa yang saya jangkakan menjadi kenyataan, apabila isteri saya ingin membuang air kecil. Kebetulan dalam 100 meter di hadapan ada perhentian Gua Tempurung. Ikutkan hati saya, saya tidak mahu singgah, kerana hentian itu hanya ada tandas sahaja, jadi saya tidak boleh beli air panas untuk segarkan mata saya. Kerana kasihankan isteri saya, saya terpaksa masuk juga ke hentian itu.

Yang peliknya, laluan masuk untuk ke tandas jauh dan hati saya dah rasa lain macam. "Bang, kenapa jauh sangat nak sampai ni?" tanya isteri saya. Saya faham dia dah tak tahan sangat-untuk melegakan diri. Untuk menyedapkan hatinya, saya hanya mampu menyuruhnya bersabar dan berkata dah nak sampai, tandas di depan situ sahaja. Terdetik dalam hati saya kenapalah jauh sangat nak masuk hentian ni. Sehabis sahaja saya berkata dalam hati, barulah nampak di depan saya tempat untuk meletak kereta dan tandasnya pula kena naik tangga menuju ke atas seperti menaiki bukit.

Saya suruh isteri tunggu di bawah, manakala saya naik dahulu untuk tengok keadaan. Bila sudah berada di atas, saya lihat ada sesuatu yang tidak kena akan tandas itu. Entahlah susah saya hendak gambarkan, tapi kaki tetap melangkah ke arah tandas. Pada ketika itulah saya seperti terdengar bisikan supaya turun dan keluar dari situ, akan tetapi saya hanya melihat sahaja tandas itu sambil teragak-agak hendak masuk atau tidak sehinggalah isteri saya yang berada di bawah bersuara, "Bang, tandasnya ok ke tidak???" Pada ketika itulah saya seperti tersedar dari lamunan dan batalkan sahaja niat untuk masuk ke dalam.

Pada waktu itu juga tiba-tiba terasa berpeluh, dada saya terasa sesak seperti baru lepas berlari, sampai turun tangga hampir terjatuh. Bila sampai di bawah, dengan suara terketar-ketar saya beritahu isteri supaya kita cari sahaja hentian lain. Tidak tahu kenapa badan terasa seram sejuk dengan mendadak.

Setelah enjin kereta dihidupkan, isteri saya pergi ke pintu belakang bahagian penumpang ingin mengambil minyak angin yang ada di dalam begnya. Saya lihat isteri sedang tunduk mencari, saya terperasan di belakang isteri saya ada satu pondok dan kalau nak tahu di pondok itu ada bayang-bayang hitam seperti duduk bersilang kaki sedang melihat kami. Kepalanya pula bergoyang kiri dan kanan seolah-olah bermain-main dengan kami. Jarak antara pondok itu dengan kami hanya beberapa langkah kaki sahaja.

Dengan dada yang tidak berhenti berombak dan suara tersekat-sekat, saya menyuruh isteri masuk ke dalam kereta, tetapi isteri saya tetap meneruskan pencarian dan berkata, "Sekejap bang, tadi ada dalam beg, manalah Ayang letak minyak angin tadi..." "Ambil beg itu, masuk dalam cepat!!!!" sergah saya. Dengan muka terkejut dia menurut perintah. Bila keluar dari situ sekejap sahaja sudah masuk lebuhraya, berbeza sebelum saya masuk tadi. Setelah membaca ayat-ayat suci 3 Qul dan Ayat Kursi, baru saya bertenang. Bila dah sampai di hentian Tapah baru saya ceritakan apa yang terjadi kepada isteri saya.

Previous
Next Post »