Cerita Misteri - Gadis ayu beri joran buluh bertuah

Oleh Nuri Angkasa











- MINGGU ini kita menyingkap kisah empat rakan pancing yang sering keluar menduga lubuk setiap hujung minggu atau hari kelepasan.
MINGGU ini kita menyingkap kisah empat rakan pancing yang sering keluar menduga lubuk setiap hujung minggu atau hari kelepasan. Ia diceritakan oleh seorang ayah kepada seorang anak lelakinya yang dianggap ada rahsia tersendiri. Tetapi keluarganya turut dapat merasakan nikmat hasil daripada rezeki pancingnya.

Pak Zul yang sudah berusia 89 tahun, menghuni sebuah perkampungan nelayan di pedalaman Sungai Pahang (kini sudah menjadi taman perumahan kos sederhana dan rendah). Anak lelakinya mempunyai sikap pendiam tetapi kuat pegangan agama. Dia minat memancing malah berkawan rapat dengan beberapa orang rakan pancing dari perkampungan yang sama.

Demikian permulaan cerita Pak Zul kepada penulis ketika bertemu di pekan kecil Lubuk Paku dekat Maran, Pahang, baru-baru ini. Orang tua itu sesekali tidak dapat menahan rasa sebak atas pemergian ke rahmatullah anak lelakinya Atan lama dulu.

“Dia membawa pulang banyak rezeki ikan pancingnya lalu dijual pada penduduk kampung,” Pak Zul terus menceritakan kisah arwah anaknya sambil mengaitkan beberapa peristiwa aneh.

Atan selalu ke warung seorang tua lelaki ketika dalam perjalanan turun memancing setiap hujung minggu. Ada kalanya Atan membantu orang tua warung itu mengendalikan perniagaan apabila ramai pelanggan yang datang serentak.

Baik budi dan pertolongan yang berterusan yang ditunjukkan oleh Atan mendapat perhatian anak gadis Pak Zubir (orang tua warung) tetapi Atan masih belum bersedia untuk berkenal cinta dengan sesiapa. Lalu, dia pun menolak cinta itu tetapi menerima anak gadis Pak Zubir sebagai adik angkat.

Bertitik tolak dari situ, Atan suatu hari dihadiahkan sebatang joran lama yang bersambung dengan buluh di bahagian hujung. Joran itu dihadiah sendiri oleh adik angkatnya, Sari (bukan nama sebenar) bagi membalas jasa baik Atan pada keluarganya. Walau pun cuma membantu perkara kecil di warung tetapi bagi Pak Zubir dan Sari, mereka menganggap itu satu pertolongan murni sambil membawa rezeki yang berlipat ganda.

Sebatang joran buluh yang sudah diubah suai oleh Atan tetapi mengekalkan tiga ruas buluh asal di bahagian hujung menjadikan joran itu unik lagi sangat disayangi oleh Atan.

“Rezeki di tangan Tuhan, bukan kerana joran buluh,” begitulah pengakuan Atan setelah mendapati rezeki yang lumayan setiap kali turun memancing dengan hanya menggunakan sebatang joran.

Pak Zul mengakui sendiri bahawa rezeki tangkapan ikan pancing anaknya sejak memiliki joran itu. Namun, beliau tidak mahu mengaitkan rezeki itu dengan sebatang joran pancing, namun itulah kenyataan yang sudah terbukti.
Atan terus meraih rezeki yang lumayan hingga dapat membebaskan kemiskinan hidup keluarganya. Beliau masih menganggap rezeki itu bukan kerana joran buluhnya walaupun sesekali terpanggil juga kepercayaan bahawa joran pemberian Sari itu ada tuahnya.

Rakan pancing Atan turut mengakui bahawa Joran pancing buluh Atan bertuah dan mereka memujuk Atan supaya menjual joran itu kepada mereka. Bagaimanapun Atan tidak berhasrat menjual joran itu kerana joran tersebut adalah pemberian ikhlas daripada Sari; adik angkatnya.

Rakan pancing mula renggang dengan Atan, cerita Pak Zul lagi. Atan sendiri mengambil keputusan untuk memulangkan semula joran itu kepada Sari kerana dia tidak mahu memutuskan persahabatan mereka yang terjalin sejak kecil kerana sebatang joran.

Tetapi Atan terkejut bahawa Pak Zul tidak ada anak perempuan yang bernama Sari. Paling mengejutkan Atan ketika itu, joran yang ada dalam tangannya bukan daripada joran buluh yang disambung di bahagian hujung tetapi joran biasa.

Atan jatuh sakit dan terus mendiamkan diri. Namun solat tetap disempurnakan walau dalam keadaan baring dan akhirnya meninggal dunia dalam keadaan satu misteri yang masih meninggalkan tanya bagi semua rakan pancingnya terutama ayahnya, Pak Zul serta Pak Zubir.

Pak Zul tidak dapat menahan kesedihan lalu tersedu sambil menunjukkan joran pancing yang masih tergantung (bukan joran pancing buluh yang menjadi misteri dalam cerita kali ini). Apa pun kematian Atan atas kehendak Allah juga. Cuma sebab musababnya saja yang menjadi misteri atau bualan yang berterusan.

“Kalau dia tak berkenalan dengan Sari tentu dia tak mati, atau kalau dia tak dapat joran pancing buluh dia tentu selamat,” begitulah bualan yang masih kekal hingga sekarang.


Sumber Dipetik Dari: http://joran.bharian.com.my/

Previous
Next Post »